MUAR 18 Julai - Lukisan potret mural yang dihasilkan berdekatan Bulatan Jalan Bakri, di sini diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai lukisan terbesar di negara ini.
Lukisan berukuran 11.80 meter tinggi dan 9.75 meter lebar itu memaparkan wajah dua beradik, Nur Najwa Alisyah Abdul Rashid, 7, dan adiknya, Nur Najiyah Armani, 3, yang berasal dari Bakri, dekat sini.
Pengiktirafan itu diberikan dalam satu majlis khas yang diadakan sebentar tadi setelah potret yang dihasilkan oleh artis dari Rusia, Julia Volchkova siap pada Sabtu lalu.
Pengarah MBOR, Christopher Wong menyampaikan sijil berkenaan kepada Pegawai Daerah Muar, Ramlee A. Rahman sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong. - UTUSAN ONLINE